Selasa, 11 Mac 2008

Salam pertemuan.

Saya tertarik untuk berkongsi sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah sallalahu'alaihi wasallam bersabda
"Apabila kamu memohon kepada Allah, maka mohonlah Syurga Firdaus. Sesungguhnya ia (syurga firdaus) itu yang terbaik serta yang paling atas (tertinggi), dan di atasnya Arasy Al-Rahman."

Di dalam hadith di atas, diberikan tips kepada kita apabila ingin membina matlamat, kita perlulah membina matlamat yang tertinggi. Walaupun kita mungkin tidak mampu mencapai yang tertinggi, namun begitu kita tidak mungkin tersasar daripada matlamat yang kita gariskan itu. Sebaliknya, jika kita tidak "set the best target" sejak dari awal, kita berkemungkinan besar tidak mampu mencapainya.

Hadith ini jelas menyuruh kita memohon kepada Allah supaya dikurniakan ganjaran syurga yang terbaik. Namun, dalam amalan kita seharian adakah kita mampu mencapainya? Barangkali ya, barangkali tidak. (Bagi sesetengah kita, mendapat peluang pembebasan daripada api neraka pun sudah cukup baik.) Walau bagaimanapun, kalau tidak beroleh peluang yang terbaik, sesudah berusaha ke arahnya, kita mungkin mampu mendapat yang kedua atau seterusnya, paling tidak pun selamat dari api neraka.

Begitu juga, jika dikiaskan dengan seorang pemanah. Apabila si pemanah itu meletakkan sasarannya di tengah-tengah papan panahan (tempat yang terbaik), kebarangkalian tersasar selalunya tidak melebihi garisan kedua atau ketiga, tetapi tidak mungkin tersasar keluar. Akan tetapi jika sasarannya di tepi papan, tidak mungkin baginya mendapat yang di tengah-tengah, malah kebarangkalian tersasar keluar adalah amat tinggi.

Sekian. Renungkanlah.

Rabu, 27 Februari 2008

Bicara Hadis

Assalamu'alaikum, dan salam sejahtera..
Saya ingin menulis dalam blog saya tentang aspek-aspek yang boleh dikaitkan dengan pembelajaran hadis.. Saya akan berusaha meninjau dari segala aspek yang termampu. Ini bertujuan memberi penjelasan dan kupasan terhadap isu-isu semasa. Kalau ada teman-teman di sana yang berminat untuk memberi idea atau menegur, dipersilakan. Kita boleh berbincang dari sudut ilmiah dan mencari titik pertemuan dan cuba mencari penyelesaian.. Sekian. Terima kasih.